Kenali SK Sg Duri


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI DURI

          Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sungai Duri. Kawasan sekolah ini berkeluasan 1.968 ekar dan terletak di atas Lot 261, Mukim 5, Seberang Perai Selatan. Sekolah ini ditubuhkan secara rasmi pada 1922. 

Bangunan bangsal yang dibina pada tahun 1912.

Pada awal penubuhannya, ia kenali sebagai Sekolah Melayu Sungai Duri yang hanya terdiri daripada sebuah bangsal yang siap dibina pada 1912. Ketika ini hanya 2 orang tenaga pengajar yang menjalankan tugas di sekolah ini. Pada tahun 1922 dengan bantuan pihak Inggeris telah dibina sebuah rumah guru dan sebuah bangunan sekolah seluas 40x30 kaki(JKR 60). Bangunan ini hanya berlantaikan tanah, bendindingkan pelupuh, berjerejak kayu dan beratap nipah.


Bangunan tiga bilik yang dibina pada tahun 1960.

          Atas desakan penduduk dan penambahan pelajar, pada tahun 1960 telah dibina sebuah lagi bangunan sekolah yang mempunyai 3 bilik (JKR 486) dan sebuah bilik pancur/tandas. Pada tahun yang sama juga, sekolah ini ditukarkan namanya kepada Sekolah Umum Sungai Duri. Setahun kemudian, sekolah ini ditukarkan namanya lagi menjadi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri. Bilangan pelajar yang kian bertambah menyebabkan keperluan bilik darjah juga bertambah. Ekoran itu bangunan bangsal dan pancur telah diruntuhkan untuk didirikan bangunan baru di atas tapaknya. Pada tahun 1977, sebuah bangunan baru 3 tingkat telah siap dibina untuk menampung jumlah murid yang kian bertambah.

          Pada bulan Jun 1999, sebuah lagi bangunan baru 4 tingkat telah siap dibina bagi menampung bilangan  murid semakin bertambah. Pembangunan yang pesat di Kampung Sungai Duri menyebabkan migrasi penduduk ke sini.  Oleh yang demikian,  bangunan yang sedia ada tidak mencukupi lagi untuk menampung bilangan murid yang bertambah dengan agak mendadak. Mulai sesi persekolahan 2007, sekolah ini terpaksa dijalankan dalam 2 sesi iaitu pagi dan petang. Pembinaan bangunan baru masih lagi dalam perbincangan oleh pihak-pihak berkenaan.

  
PENGASAS SEKOLAH


Menurut cerita daripada penduduk paling tua di kampung ini iaitu Tuan Haji Md. Isa bin Haji Mat Amin, beliau menyatakan bahawa orang yang mula-mula merancang membina sebuah sekolah untuk memberi pelajaran dan mendidik anak-anak di kampung ini ialah Encik Cik Mat Kaya. Encik Cik Mat Kaya telah mewakili penduduk kampung Sungai Duri dalam menyatakan hasrat ini kepada Guru Pelawat dan Tuan Pegawai Daerah (D.O). Mereka  telah mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan Inggeris di Pulau Pinang.

Permohonan ini telah mendapat persetujuan daripada kerajaan Inggeris Pulau Pinang dan pada tahun 1922 telah didirikan sebuah sekolah (J 60) dengan mendapat bantuan penuh daripada pihak kerajaan. Murid-murid yang bersekolah pada masa itu terdiri daripada murid-murid lelaki di bawah pentadbiran seorang guru besar.

Usaha untuk memohon sebuah bangunan tambahan bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengurus dengan daya usaha Cikgu Idris bin Abu Bakar, Guru Besar sekolah pada masa itu dengan mendesak kerajaan membina sebuah sekolah yang lebih selesa dan sempurna bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu.

Atas daya usaha mereka inilah akhirnya pihak kerajaan telah memberikan persetujuan untuk membina sebuah sekolah. Oleh itu pada tahun 1960 sebuah sekolah 3 bilik dengan sebuah bilik tandas atau bilik pancur telah dibina di atas kawasan tanah tersebut. Sekolah ini kekal di tapak asalnya dan kawasannya semakin luas kerana didirikan bangunan-bangunan tambahan bagi menampung bilangan murid yang semakin ramai.




MANTAN GURU BESAR SEK KEB SUNGAI DURI
1922 - 2008